Wednesday, May 18, 2011

MATI JATUH HOTEL, ELAK DICEKUP

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP) ditemui mati selepas dia terjatuh dari tingkat 16 di sebuah hotel di ibu negara di sini semalam.

Lelaki berusia 62 tahun tersebut ditemui terbaring di balkoni tingkat lima premis berkenaan pada pukul 2.30 pagi selepas pintu biliknya diketuk oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang membuat operasi mencegah maksiat.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di dalam bilik itu bersama seorang janda berusia dalam lingkungan 50-an.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kejadian itu disedari oleh pegawai Jawi yang masuk ke dalam bilik mangsa dan melihat tingkap di bilik hotel tersebut terbuka.

"Sebaik diintai dari tingkap bilik tersebut, mereka ternampak seorang lelaki dalam keadaan terbaring di balkoni tingkat lima.

"Pemeriksaan mendapati bekas pegawai polis itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan, pegawai tersebut bersara pada tahun 1992.

Menurut Mohd. Zulkarnain, pihak Jawi telah membuat laporan berhubung kejadian itu dan setakat ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, jurucakap Jawi ketika dihubungi berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan pasangan itu di hotel berkenaan.

Katanya, seorang wanita telah membuka pintu sebelum menutupnya semula selepas menyedari ketukan itu dilakukan oleh Jawi.

"Selepas pintu ditutup, pegawai Jawi ada mendengar seperti berlaku pergaduhan di dalam bilik tersebut," katanya yang memberitahu wanita itu membuka semula pintu bilik tersebut beberapa minit kemudian.
Tambahnya, pemeriksaan kemudian menemui hanya wanita itu berada di dalam bilik dan selepas ditinjau melalui tingkap yang terbuka, pihaknya ternampak seorang lelaki terbaring di atas balkoni tingkat lima.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

*Sumber: kosmo


Kurengkan kontroversi, tingkatkan prestasi!!! Itu yang lebih baik kan? 

No comments:

Post a Comment

KAMSAHAMNIDA...